Sejarah penubuhan Maktab_Rendah_Sains_MARA

Sebelum tertubuhnya institusi MRSM, golongan pelajar di Malaysia menikmati peluang menduduki asrama menerusi Sekolah Berasrama Penuh yang dikelolakan oleh Kementerian Pelajaran pada ketika itu. Menerusi SBP, pelajar akan menduduki peperiksaan SRP (kini dikenali sebagai PMR dan diambilalih oleh PT3) dan juga SPM. Cadangan untuk menubuhkan institusi MRSM mula tercetus sejak tahun 1968[1]. Cadangan ini timbul berikutan kekurangan golongan Bumiputera dalam bidang sains dan teknologi.

MRSM Jasin (kini dikenali sebagai MRSM Tun Ghafar Baba) dibuka pada tahun 1981.

MARA mula memperkenalkan MRSM menerusi penubuhan MRSM yang pertama pada tahun 1972 yang dikenali sebagai MRSM Seremban. Ianya dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada ketika itu, Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman[2]. Objektif pengenalan MRSM ini adalah untuk menambah bilangan bumiputera profesional yang mampu berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi dan dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan dan luar bandar[3]. Seramai 150 orang pelajar yang merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk ke MRSM Seremban. Pada tahun 1974 pula, peperiksaan SRP diadakan dan ini merupakan peperiksaan utama pertama kali diadakan di MRSM[4]. Di awal penubuhan MRSM, Lembaga Peperiksaan meletakkan institusi MRSM sebagai sekolah persendirian kerana berpendapat MRSM beroperasi secara berasingan daripada sistem pendidikan Kementerian Pelajaran[4].

Pada tahun 1973, MARA membina MRSM kedua, MRSM Kota Bharu yang terletak di negeri Kelantan. Seramai 149 orang pelajar dan 20 orang kakitangan merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk[5]. Manakala, MRSM Kuantan merupakan MRSM ketiga yang telah dibina dan dirasmikan pada tahun 1974[1]. Kumpulan pelajar perintis di MRSM Kuantan ini mula menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Lower Certificate Education (LCE) buat pertama kali pada tahun 1976, dan kumpulan ini berjaya mencatatkan kelulusan penuh 100%[6].

Matapelajaran

Sebelum pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), MARA menggunakan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran[7].

Tingkatan 1-3Tingkatan 4-5
Bahasa MelayuBahasa Melayu
Bahasa InggerisBahasa Inggeris
UgamaUgama
Ilmu AlamIlmu Alam
Hisab ModenHisab Moden
Sains PanduanSains Panduan
KreativitiFizik
MuzikKimia
Pendidikan JasmaniKajihayat
SivikPerdagangan
Pendidikan Jasmani
Sivik

Penukaran ke Kolej MARA

MRSM terawal, iaitu MRSM Seremban, MRSM Banting dan MRSM Kulim merupakan MRSM yang dinaiktaraf kepada Kolej MARA. Penaiktarafan ini berlaku kerana pertambahan bilangan MRSM dari masa ke semasa, seperti MRSM Kota Bharu (yang kemudian ditukar nama kepada MRSM Pengkalan Chepa)[8] yang dibuka pada tahun 1973, MRSM Kuantan pada tahun 1974, MRSM Kuala Terengganu telah dibuka pada tahun 1978 dan MRSM Muar telah dibuka pada tahun 1980.

MRSM yang pertama, MRSM Seremban mula menerima pelajar baru bermula pada tahun 1972 sehingga tahun 1985 dan kemudian dinaiktaraf kepada Kolej MARA Seremban pada tahun 1991[2]. MRSM Kulim merupakan MRSM keempat dibina pada tahun 1977 dan mengambil seramai 149 orang pelajar tingkatan 1 sebagai kumpulan perintis. Pada tahun 1994, MRSM Kulim dinaiktaraf dan ditukar nama kepada Kolej MARA Kulim yang kini menjalankan program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, Program Persediaan Keusahawanan Sains Universiti Malaysia Kelantan[9] dan program asasi UniKL. Manakala, MRSM Banting mula dibuka pada tahun 1992 dan dinaiktaraf kepada Kolej MARA Banting pada tahun 1994 yang kini menawarkan program International Baccalaureate[10].

Rujukan

WikiPedia: Maktab_Rendah_Sains_MARA http://www.agendadaily.com/Eksklusif-Bersama/ada-c... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/selebriti... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/daulat-s... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php... http://www.mykedah2.com/20hall_fame/206_14.htm http://malaysiakita.tripod.com/mrsm.html http://www.hmetro.com.my/node/220421 http://www.kangaroomath.com.my/product/math-olimpi... http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=02... http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/...